JellyPages.com

LIFE IS A JOURNEY FROM ALLAH & TO ALLAH

LIFE IS A JOURNEY FROM ALLAH & TO ALLAH
#jihad fisabilillah

Khamis, 7 Januari 2016

Indahnya akhlakMu Ya Rasulullah

HAYATI KISAH INI:


Rasulullah s.a.w. pernah menyembelih seekor kambing, kemudiannya Nabi s.a.w. menyedekahkan daging kambing tersebut kepada golongan fakir miskin. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada isterinya Aisyah r.a. : Apa yang tersisa dari (daging) kambing tersebut? Isteri Rasul yang memang mengetahui bahawa Rasulullah suka memakan daging kambing, telah menyimpan sedikit dari bahagian bahu kambing tersebut untuk Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w.  bersabda: “Semua (daging) kambing (yang disedekahkan) tersebut kekal tetap, melainkan (bahagian) bahunya.” [Hadith Riwayat At-Tirmidzi]

Apakah agaknya yang dimaksud Nabi s.a.w. berkaitan apa yang disedekahkan itu kekal tetap? Ia bererti, apa yang disedekahkan itu diterima Allah s.w.t., oleh itu pahalanya kekal di sisi Allah s.w.t, dan apa yang kita simpan di sisi kita akan fana dan luput. Sejajar dengan firman Allah s.w.t. :

     Yang bermaksud : "Dan segala yang disisimu (dari harta) akan hapus, dan segala yang
berada di sisi Allah s.w.t. akan kekal selama-lamanya, dan nescaya akan kami ganjari mereka yang bersabar dengan ganjarannya, sesuai dengan sebaik-baik amalan mereka".

  • marilah sama-sama bersedekah

  • Indahnya sifat kepedulian Nabi Muhammad s.a.w. Baginda Nabi s.a.w. lebih mengutamakan golongan yang susah dan memerlukan meskipun Nabi dan ahli keluarganya terpaksa menanggung kelaparan.

  • Peliharalah diri kita daripada sifat mementingkan diri sendiri, serta mementingkan keperluan peribadi kita sahaja.

Kita perlu memupuk dan membina rasa belas dan peduli sesama kita, ada beberapa nilai yang perlu kita teruskan antaranya:
   
     1.Menghargai nyawa setiap Insan:
 Kemanisan keimanan itu tidak akan hadir kecuali jika kita menggabungkan kecintaan kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. dengan kecintaan kepada insan lain. Bagaimana mungkin kita menjadi hamba Allah yang dikasihi, sedangkan hubungan kita bersama ciptaan Allah itu renggang dan dingin? Ataupun kita tidak menghiraukan keadaan golongan yang memerlukan bantuan? Ataupun kondisi kehidupan jiran kita yang mana pada setiap hari kita melintasi depan pintunya? Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w:
“Tiga perkara; sesiapa yang memilikinya, maka ia akan merasakan manisnya iman. Pertama: mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada sesuatu yang lain. Kedua: mencintai seseorang hanya karena Allah semata. Dan ketiga: enggan kembali kepada kekufuran sebagaimana ia enggan dilemparkan ke dalam api.” [Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim]

Perlu difahami bahawa layanan seseorang insan terhadap insan yang lain akan ditentukan oleh rangka pandangannya atau sangkaannya. Oleh itu jika seorang Muslim mempunyai orientasi Islam yang memusuhi sesiapa sahaja yang bukan dari agamanya atau aliran ikutannya, maka ini akan menjejas kemampuannya untuk bergaul dengan baik dan lalu berusaha untuk memupuk kesefahaman yang akan menjamin keharmonian antara mereka.

Di sinilah mesej kemanusiaan di dalam Islam memainkan peranan yang penting di dalam meningkatkan kefahaman Islam sejagat oleh umat Islam sendiri. Sebagaimana yang ditekankan oleh Syeikh Dr. Muhammad Saeed Ramadan Al-Buthi dalam kitabnya “Cinta di dalam Al-Quran”:  "Hakikat bahawa kita seorang insan, hamba dan milik Allah s.w.t. adalah cukup untuk mewajibkan perasaan kasih sayang dan cinta terhadap insan yang lain".

   2.Pemahaman menyeluruh berkaitan Rahmatan Lil ‘Alamin.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107:

Ertinya: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Yakni Nabi Muhammad s.a.w.) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.”

Pada ayat yang dibacakan tadi, dinyatakan dengan jelas bahawa Rasulullah s.a.w. diutuskan oleh Allah s.w.t. sebagai rahmat buat sekalian alam. Kalimat “rahmat” di dalam ayat tersebut membawa pengertian umat yang melakukan kebaikan dan umat yang memberi kesan positif kepada lingkungannya. Seorang mukmin yang berusaha untuk menjadi rahmat bagi lingkungannya tidak akan terkesan dengan situasi sekelilingnya, bahkan mereka yang berada bersebelahan dengannya akan terkesan dengan kebaikan dirinya. Seperti kenyataan Nabi Syuaib a.s. kepada kaumnya:

Yang bermaksud: "Sesungguhnya yang aku inginkan hanyalah pembaikkan, sejauh kemampuan ku. [Surah Hud, ayat 88]

Maka kita sebagai umat Rasulullah s.a.w. juga sewajarnya menjadi rahmat kepada manusia sekeliling kita dan berusaha untuk melaksanakan segala jenis kebaikan kepada masyarakat secara umum, menyontohi kehidupan dan peribadi Nabi Muhammad s.a.w.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita taufiq serta inayah untuk menjadikan Baginda s.a.w. sebagai contoh teladan terbaik kita, serta mengamalkan dan menerap segala sunnahnya, amin Ya Rabbal Alamin.

Hasil carian imej untuk kaligrafi rasulullah

Hasil carian imej untuk kaligrafi rasulullah

 Hasil carian imej untuk salawat





Tiada ulasan:

Catat Ulasan